KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan penjaga digesa supaya lebih berwaspada terhadap bahaya rokok elektronik atau vape yang dicampur dengan dadah sintetik memandangkan produk berkenaan semakin sukar dikesan di rumah berikutan kaedah pembuatannya yang mengelirukan.
Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, kebimbangan utama ialah banyak cecair vape di pasaran direka mengeluarkan bau buah-buahan yang menyenangkan atau langsung tidak berbau, selain dipasarkan menggunakan nama yang menarik dan bersifat ceria.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan ibu bapa dan penjaga kurang peka, sekali gus membolehkan ramai golongan muda, khususnya pelajar sekolah menengah mengalami ketagihan tanpa disedari keluarga.
“Kebanyakan kandungan vape jenis ini, malah cecairnya juga tidak berbau langsung. Jadi, keadaan ini menyukarkan terutama ibu bapa untuk mengesan sama ada anak-anak mereka menggunakan bahan berkenaan.
“Kami mahu merawat mereka seawal mungkin. Kami mahu mereka tampil mendapatkan rawatan lebih awal supaya kami dapat mencegah sebarang komplikasi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program The Nation yang disiarkan di Bernama TV pada Jumaat.
Dr Rusdi berkata, pelajar sekolah menengah, khususnya mereka yang berada di tingkatan tiga hingga lima merupakan kelompok umur paling ramai dimasukkan ke hospital akibat komplikasi berkaitan penggunaan bahan sintetik.
Beliau berkata, rokok elektronik atau vape yang dicampur dengan dadah dan mengandungi bahan kimia kuat seperti mushroom halusinogen boleh mengganggu perkembangan otak remaja serta mencetuskan psikosis akut, termasuk halusinasi visual dan auditori.
Mengenai kesan dadah berkenaan, Dr Rusdi berkata, mushroom ialah bahan halusinogen yang boleh menjejaskan otak kanak-kanak dan menyebabkan psikosis, termasuk halusinasi visual dan auditori.
Beliau berkata, fentanil ialah opioid yang sangat kuat dan boleh menyebabkan kemurungan pernafasan, sedasi berlebihan serta nafas terhenti, sekali gus mengakibatkan keadaan seperti “zombi” yang dilihat dalam kalangan sesetengah penggunanya.
“Apabila seseorang mengalami kemurungan pernafasan, mereka boleh berhenti bernafas dan otak boleh mengalami hipoksia kerana oksigen tidak dapat sampai ke otak,” katanya.
Bagi menguruskan kes ketagihan dengan lebih berkesan, Dr Rusdi mencadangkan agar kerangka pemulihan negara beralih kepada model penjagaan kesihatan khusus di bawah Kementerian Kesihatan, dengan menyatakan bahawa ketagihan perlu dilihat sebagai penyakit perubatan.
Beliau berkata, melihat ketagihan dadah sebagai isu perubatan boleh membawa kepada hasil kesihatan awam yang lebih baik serta membolehkan peruntukan sedia ada digunakan dengan lebih berkesan.
Dr Rusdi berkata, kerajaan membelanjakan kira-kira RM580 juta setahun untuk menyelenggara pusat pemulihan dan penjara bagi kes berkaitan dadah, yang membentuk kira-kira 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penghuni penjara.
Beliau turut menggesa pihak sekolah dan keluarga supaya memudahkan golongan muda yang terjejas mendapatkan rawatan perubatan pada peringkat awal.
-- BERNAMA