SETIAP kali musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri, orang ramai sentiasa ternanti-nanti tayangan klip video korporat.

Syarikat-syarikat korporat tanah air akan berlumba-lumba menerbitkan video istimewa sempena lebaran sebagai tanda meraikan hari kemenangan dengan pelanggan-pelanggan mereka.

Pada musim Syawal yang masih diraikan ini pula, video raya terbitan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertajuk Konvoi Epik Fantastik mencatat rekod tersendiri.

Iklan Konvoi Epik Fantastik TNB menonjolkan tradisi kunjung mengunjungi di hari penuh kemuliaan. - Gambar TNB



Syarikat bekalan tenaga itu dalam kenyataannya memberitahu, video berkenaan sudah ditonton lebih 32.2 juta tonton sejak ditayangkan di pelbagai platform media sosial.

Catatan angka berkenaan, kata TNB, sekali gus memecahkan rekod 23.1 juta tontonan untuk iklan raya syarikat itu pada tahun 2018.

Menurut TNB, di platform Youtube sahaja, Konvoi Epik Fantastik mencatat lebih lapan juta tontonan diikuti Facebook dan Instagram (7.7 juta tontonan) serta Twitter pula mencatata sebanyak 2.7 juta.

Tidak ketinggalan, tontonan di portal dan platform digital lain mencatat angka sebanyak 13.5 juta.

"Jumlah tontonan di pelbagai platform media sosial itu menggambarkan iklan raya 2019 TNB menjadi antara pilihan utama netizen sejak pelancarannya 23 Mei lalu," kata TNB lagi.

Video Konvoi Epik Fantastik memaparkan telatah Nabila dan keluarga besarnya berkonvoi sehari suntuk beraya ke 10 buah rumah adik-beradik Tok Wannya.

Faktor kekuatan iklan berkenaan adalah pada jalan ceritanya yang menonjolkan tradisi kunjung mengunjungi dalam mengeratkan silaturahim kekeluargaan.

Berdurasi lebih empat minit, iklan raya TNB itu memaparkan pemandangan indah negeri Perlis sepanjang perjalanan konvoi keluarga Nabila beraya.