KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menumpukan kepada usaha memberi wajah dan landskap baharu kepada penjawat serta organisasi awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pembaharuan itu, katanya, bertujuan menjadikan sistem penyampaian kerajaan lebih bersifat dan berteraskan rakyat, selain memudah cara urusan rakyat supaya tidak lagi dibebani dengan karenah birokrasi.

"Sebagai contoh, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan adalah meliputi kesegeraan penyaluran pelbagai bantuan termasuk bantuan tunai, geran, pinjaman mudah dan sebagainya dengan mengurangkan karenah birokrasi.

"Kita dapat lihat, bagaimana bantuan wang ihsan (BWI) yang dapat disalurkan dalam tempoh yang paling cepat dalam sejarah bantuan banjir yang berlaku pada penghujung tahun 2021.

"Buat pertama kali, kerajaan menyediakan tiga kaedah penyaluran kepada mangsa banjir, iaitu melalui penyerahan tunai di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), rumah ke rumah dan juga pembayaran dalam talian," katanya di Dewan Rakyat hari ini

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mempersoalkan kenapa masih berlaku kelemahan di dalam sistem pelaksanaan dan penyampaian kerajaan.

Abdul Rahman juga mahu tahu langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mengatasinya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, langkah yang diambil kerajaan itu dipacu perkhidmatan awam yang cekap dan organisasi yang dinamik serta bersifat fasilitasi.

"Dalam hubungan ini, saya akan memastikan supaya organisasi awam akan lebih efisien dan efektif dengan mempunyai saiz, struktur dan fungsi yang bersesuaian serta tiada pertindanan fungsi.

"Kita akan meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa (business process re-engineering) bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa serta mendatang.

"Fungsi yang tidak lagi relevan perlu dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan fungsi yang terkini dengan lebih berkesan," katanya.

Jelasnya, kerajaan juga menggariskan agar sistem penyampaian perkhidmatan awam didorong oleh inisiatif baharu melalui pendekatan seperti penerapan lima nilai iaitu pantas, pengetahuan bertaraf dunia, memberi inspirasi, fleksibel dan berasaskan teknologi.

Dalam memacu ekonomi digital Malaysia, beliau berkata, kerajaan sentiasa memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mendokong transformasi Malaysia menjadi peneraju ekonomi digital serantau agar dapat memupuk serta membina masyarakat yang lebih progresif.

Katanya, kerajaan perlu menyediakan platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan.