KUALA LUMPUR: Kagum dengan semangat kepimpinan dalam kalangan ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), wakil delegasi beberapa negara mengakui teruja dapat menimba ilmu sepanjang Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Rantau Asia Pasifik yang berlangsung bermula 11 sehingga 14 Jun ini.

Astro AWANI selaku media rasmi acara itu berkesempatan untuk bertemu wakil pemimpin persatuan dari beberapa negara di rantau Asia Pasifik.

Rata-rata daripada mereka memuji kecekapan pemimpin dan ahli persatuan di negara ini dalam mengendalikan meja bulat membincangkan amalan kepimpinan.

Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Fiji, Salavou Seseakoro Suguturaga berkata, perjalanan mereka ke Kuala Lumpur sepanjang 10 jam ternyata berbaloi dengan perkongsian diterima sepanjang empat hari.

“Persidangan meja bulat ini membawa makna besar buat kami. Pasukan dari Fiji menikmati sesi meja bulat di negara ini dan bersemangat untuk menyertai aktiviti disediakan. Kami juga dapat belajar pelbagai perkara daripada ahli dari negara berbeza, banyak ilmu yang diperolehi lebih-lebih lagi bagaimana mengekalkan kerjasama di dalam situasi sukar,” katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Kewangan Persatuan Pandu Puteri Kemboja, Hun Phalin berpendapat, perkongsian dan sesi bertukar idea dalam kalangan ahli dari 15 negara akan menjadi rujukan untuk dipraktik di negaranya.

“Kami amat berbesar hati dapat berada di Kuala Lumpur sepanjang empat hari ini, kami akan gunakan ilmu yang diterima dan bakal dikongsikan bersama ahli di Kemboja nanti.

“Banyak program anjuran PPPM yang membantu meningkatkan keyakinan kami. Kami didedahkan dengan teknik untuk menyampaikan idea di khalayak ramai sekali gus membantu ahli dalam lingkungan 17 sehingga 30 tahun berani sebagai pembuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Persatuan Pandu Puteri Sri Lanka, Fatimah Jaaiza Shariff memberitahu, dia amat gembira berpeluang menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur buat kali ketiga.

“Memandangkan kontinjen kami yang paling ramai di dalam dewan. Semangat yang ditunjukkan daripada semua ahli adalah positif dan membantu pemahaman dalam merealisasikan kepentingan belia wanita dalam kelompok pembuat keputusan.

"Itu yang membuatkan kami tidak sabar menanti aktiviti disediakan. Paling seronok dapat bertemu dengan rakan-rakan baharu dari pelbagai negara,” ujarnya.

Persidangan meja bulat anjuran bersama PPPM dan Pengakap Puteri Sedunia Rantau Asia Pasifik itu berjaya menghimpunkan seramai 230 ahli pandu puteri dari 15 buah negara.

Acara yang disokong Yayasan Temasek itu bertujuan membincangkan dan merumuskan strategi dalam amalan kepimpinan antara generasi ke arah rantau yang mampan serta berkembang maju.