Peruntukan besar dalam pembentangan Bajet 2014 membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan kaum India di negara ini.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri K. K. Eswaran berkata, Kerajaan juga sentiasa mengutamakan kaum India walau populasinya hanya meliputi lapan peratus penduduk negara.

"Perdana Menteri telah megucapkan terima kasih kepada kaum India kerana menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum lalu maka banyak peruntukan telah diberikan seperti latihan kemahiran kepada anak-anak muda selain pembangunan sekolah Tamil.

"Kami percaya ekonomi Malaysia akan terus maju dan cemerlang serta negara aman dan stabil di bawah pemerintahan BN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MAICCI.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri masing-masing di sini.

Dalam Bajet 2014, Najib memberikan peruntukan besar kepada kaum India demi pembangunan ekonomi dan kehidupan sosial yang lebih baik.

Dalam pembentangan Bajet lalu, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi meningkatkan pencapaian pelajaran dan latihan kemahiran untuk masyarakat India.

Di samping itu, dana sebanyak RM50 juta disediakan untuk Skim Pembiayaan Usahawan Muda India (SPUMI) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Dalam perkembangan lain, K. K. Eswaran menyelar sikap pembangkang mendakwa intipati Bajet 2014 merupakan salah satu bentuk penganiayaan kepada rakyat.

Tegasnya, isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan kerap dimanipulasi dan diberi pemahaman salah oleh pembangkang.

"Pembangkang cuba putar belit fakta dengan memanipulasi pemikiran rakyat, biarpun mereka turut mengakui sistem GST adalah baik," ujarnya.

Jelasnya, GST disifatkan lebih baik kerana kadar yang akan dikenakan adalah lebih rendah selain tidak dikenakan kepada barang keperluan asas.