PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mengumumkan pelantikan itu dalam kenyataan hari ini berkata ia bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.

Beliau berkata pelantikan Wan Ahmad Dahlan telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Wan Ahmad Dahlan, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun sejak sejak mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Jan 1995.

Wan Ahmad Dahlan pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara serta di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan.

"Saya yakin dengan pengalaman serta kredibiliti yang dimiliki, beliau mampu menggalas tanggungjawab diamanahkan ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata kerajaan turut merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Zulkapli atas khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai KPPA sejak pelantikannya pada 27 Feb tahun lepas.

-- BERNAMA