Presiden Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana beliau mahu memberikan tumpuan kepada gerakan kempen menjelang hari pemilihan.

"Saya telah putuskan untuk tidak bertanding. Saya hendak berkempen dengan menyeluruh," katanya dalam sidang media harian PKR di sini, hari ini.

Ini adalah sidang media pertama yang diberikan oleh Wan Azizah selepas "menghilang" sejak beberapa hari lalu selepas timbul khabar bahawa beliau tidak akan bertanding.

"Saya tidak berapa sihat, bukannya saya merajuk tak dapat bertanding," katanya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu wawancara dengan AlJazeera memaklumkan isterinya itu tidak akan bertanding.

Kenyataan Anwar itu jadi kontroversi selepas Naib Presiden PKR yang juga anak pasangan itu tidak percaya yang ibunya tidak akan bertanding.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Azmin Ali dalam satu sidang media kemudian mengesahkan Azizah menarik diri untuk bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kepimpinan parti menghormati keputusan beliau.

Azizah hilang kelayakan untuk bertanding kerusi Parlimen sehingga Ogos ini selepas meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Julai 2008.

Keputusannya itu bagi memberi laluan kepada sebuah pilihan raya kecil untuk Anwar bertanding. Anwar ketika itu baru layak semula untuk bertanding pilihan raya selepas tamat tempoh sekatan kerana hukuman penjara.

Azizah sebelum ini disebut-sebut akan bertanding kerusi DUN di Selangor.