MALAYSIA
Wan Saiful harus bersihkan diri di hadapan Lembaga Disiplin - Tun Faisal

Tun Faisal (foto) berkata Wan Saiful sepatutnya bersihkan diri di hadapan Lembaga Disiplin, bukan melalui sidang media. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Wan Saiful Wan Jan seharusnya membersihkan diri di hadapan Lembaga Disiplin, bukan dalam sidang media, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Ringkasan AI
- Tun Faisal berkata Wan Saiful sepatutnya bersihkan diri di hadapan Lembaga Disiplin, bukan melalui sidang media.
- Wan Saiful akui beliau yang kumpul 120 akuan bersumpah (SD) dan menafikan ia bertujuan mendesak Muhyiddin letak jawatan.
- Empat ketua bahagian termasuk Wan Saiful akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin Bersatu berhubung isu SD dan transisi kepimpinan parti.
"Pertamanya, bagus, kerana akhirnya Wan Saiful mengakui dia yang mengumpulkan SD dan dia juga mengesahkan bahawa 120 SD bukan untuk mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dan menyerahkan jawatan Presiden kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin atau mengangkatnya menjadi Pemangku Presiden.
"Kedua, setiap aduan disiplin lazimnya disertakan dengan bukti-bukti dan saksi-saksi terhadap pelanggaran disiplin tersebut.
“Tempat terbaik untuk membersihkan diri dan mengemukakan bukti-bukti berkaitan aduan tersebut adalah di hadapan Lembaga Disiplin, bukan dalam sidang media,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan pada Isnin.
Tun Faisal berkata demikian susulan sidang media yang dibuat oleh Wan Saiful yang menafikan dakwaan bahawa Akuan bersumpah (SD) yang dikumpulkan membabitkan 120 Ketua Bahagian (KB) Bersatu tidak bertujuan mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Presiden parti.
Tun Faisal turut merujuk beberapa kenyataan yang telah disiarkan media berhubung isu SD tersebut dan menegaskan keperluan untuk menyelesaikan isu tersebut secara rasmi dan beretika melalui mekanisme dalaman parti.
Terdahulu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, pada sidang media, Isnin, menyifatkan dakwaan bahawa SD itu bertujuan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai ‘naratif songsang’.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa SD yang dikumpulkan itu bertujuan menyokong Muhyiddin dalam mengatur pelan peralihan parti.
Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Wan Saiful akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin untuk tindakan tatatertib berhubung dakwaan berkenaan.
Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata: “Niat kami hendak membersihkan nama baik kami bukan hanya dalam parti tapi juga kepada rakyat seluruh negara. Bila saya sebut 'kami', saya tak maksudkan kami empat orang saja, tetapi 120 orang KB yang bersama dalam usaha ini,” ujarnya lagi.
Wan Saiful berkata, sehingga hari ini, Muhyiddin dipercayai belum melihat SD yang sebenar dan mereka bakal mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu pada Rabu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami