TELUK INTAN: Polis menahan seorang wanita yang disyaki menjadi dalang rompakan bersenjata terhadap seorang warga emas di sebuah rumah di Taman Indah Jaya dekat sini, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata wanita berusia 30 tahun yang masih bujang itu diberkas bersama lapan ahli kumpulan lain termasuk pasangan suami isteri dan adik- beradik dalam serbuan berasingan pada 29 Nov lepas.

"Wanita tersebut mengaku telah memberikan maklumat mangsa kepada ahli kumpulannya hingga membawa kepada kejadian rompakan berkenaan.

"Semakan yang dilakukan pihak polis turut mendapati, wanita itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata lapan suspek lain berusia dalam lingkungan 20 dan 35 tahun pula ditahan di beberapa lokasi antaranya di sini, Selangor serta Kuala Lumpur pada 29 Nov hingga 3 Dis lalu.

Beliau berkata polis turut menemukan barang kes yang dilarikan antaranya sebuah kereta jenis Perodua Axia, dua rantai emas berserta loket, sepasang subang emas, cincin serta seketul emas yang dileburkan berjumlah hampir RM60,000.

"Polis turut merampas dua bilah parang yang digunakan suspek dalam kejadian samun itu. Saringan awal dijalankan terhadap semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod kesalahan dadah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Adnan berkata semua suspek telah direman mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan melarikan kenderaan.

"Dengan tertangkapnya semua suspek ini, polis berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh kurang dua minggu," katanya.

-- BERNAMA