TEL AVIV: Wanita di Israel berhimpun di Tel Aviv pada Rabu, menuntut pembebasan kira-kira 130 tebusan yang masih ditahan di Gaza selepas enam bulan perang Israel terhadap Hamas.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berdepan tekanan dari dalam dan luar negara apabila beliau membuat pertimbangan sejauh mana operasi mengalahkan Hamas di Rafah akan terus dilakukan.

Pertimbangan tersebut dilihat merumitkan harapan untuk membawa pulang tebusan Israel.

Demonstrasi jalanan menentang kerajaan oleh keluarga dan penyokong daripada lebih 130 tebusan yang masih ditahan di Gaza kini masih diteruskan.

Ia menyaksikan segerombolan penunjuk perasaan menuntut perjanjian gencatan senjata dengan Hamas untuk mendapatkan mereka kembali.

Manakala yang lain pula menuntut kerajaan dan angkatan pertahanan Israel meneruskan operasi Rafah terhadap anggota Hamas yang tinggal di sekitar bandar itu, bermula minggu ini dengan serangan udara dan pertempuran di pinggir bandar.

Netanyahu terus diselubungi dilema minggu ini apabila Hamas mengisytiharkan menerima cadangan gencatan senjata yang diusahakan Mesir bagi menghentikan pertempuran.

Ia adalah sebagai syarat kepada pertukaran tebusan untuk tahanan Palestin yang kemudiannya, ditolak pegawai Israel dengan menuduh Hamas mengubah syarat perjanjian tersebut.