Skip to main content

Malaysia

Wanita maut, lima cedera termasuk kanak-kanak dan OKU dalam kemalangan di Kluang

[TB]_JBPM BOMBA LOGO 2_JBPM
Lima anggota bomba bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejauh 51 kilometer sebaik menerima maklumat sebelum tiba pada 12.54 tengah malam.
Advertisement

KLUANG: Seorang wanita maut, manakala lima yang lain termasuk tiga kanak-kanak dan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van dan lori di Kilometer 55.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.13 tengah malam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata sebanyak lima anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejauh 51 kilometer sebaik menerima maklumat berkenaan sebelum tiba pada 12.54 tengah malam. 

"Kemalangan membabitkan van jenis Toyota dan lori Isuzu. Terdapat enam mangsa berada di dalam van berkenaan.

"Lima daripada penumpang van yang cedera, iaitu seorang lelaki dewasa, seorang lelaki OKU, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Shoromi berkata seorang wanita yang juga pemandu van berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit pada bahagian pemandu sebelum mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas penyelamatan.

Mayat diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, manakala kesemua mangsa yang cedera diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, pemandu lori Isuzu dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement