MALAYSIA
Wanita warga China ditahan, cederakan pegawai imigresen di KLIA

Suspek memaki hamun pegawai dengan perkataan kesat, menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya ke arah tiang di hadapan kaunter. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Seorang wanita warga China ditahan selepas bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen semasa pemeriksaan perlepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam itu, wanita terbabit bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak hadir untuk pemeriksaan perlepasan imigresen apabila pegawai bertugas mendapati mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk, lalu merujuk perkara itu kepada penyelia untuk semakan lanjut.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan hari ini berkata suspek tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat, sebelum memaki hamun pegawai dengan perkataan kesat, menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya ke arah tiang di hadapan kaunter.
"Pergelutan kecil berlaku dan suspek enggan bertenang walaupun diarahkan. Pegawai penguat kuasa AKPS kemudian memanggil Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) untuk mengawal keadaan," menurut kenyataan itu.Akibat kejadian itu, pegawai berkenaan mengalami bengkak pada mata kiri, sakit kepala di bahagian kanan dan lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan serta laporan perubatan.
Laporan polis telah dibuat dan suspek kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam, Seksyen 332 kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 353 kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.
AKPS berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan, penghinaan atau ancaman terhadap pegawai yang menjalankan tugas dan berharap pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami