KUALA TERENGGANU: Sekumpulan lelaki warga asing yang leka bermain bola sepak cuba melarikan diri selepas digempur pihak berkuasa dalam operasi dijalankan di padang bola Tok Jembal, Kuala Nerus pada petang Jumaat.

Bagaimanapun, kumpulan warga asing itu tidak dapat melarikan diri susulan seluruh kawasan terbabit telah dikepung anggota penguat kuasa untuk menahan mereka bagi tujuan pemeriksaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu, Azhar Abd Hamid berkata, seramai 59 warga asing dari beberapa negara seperti Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan Indonesia diperiksa dalam operasi terbabit.

"Daripada jumlah itu, seramai 13 lelaki warga asing ditahan atas membuat kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tiada dokumen pengenalan diri," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Persekutuan dekat sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, seramai 54 warga asing dari Bangladesh, Myanmar dan Kemboja turut ditahan di dewan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bukit Kecil, dekat sini.

Beliau menyatakan daripada jumlah itu, seramai enam warga asing ditahan atas membuat kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tiada dokumen pengenalan diri dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa.

"Kesemua yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen Ajil untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya.

Sementara itu, Azhar berkata, seramai 5,656 warga asing sudah diperiksa di seluruh Terengganu pada tahun lepas.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 1,226 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Selain itu, kita juga telah berjaya menghantar 2,132 warga asing yang ditahan di Depot Imigresen Ajil ke negara asal masing-masing," jelasnya.

Dalam pada itu, Azhar menyatakan fokus utama JIM Terengganu pada tahun ini adalah mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan warga asing yang bekerja di Terengganu mempunyai dokumen lengkap serta tidak menetap secara haram di negeri ini.

"Kita juga meminta semua majikan yang mendaftar Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 supaya segera melakukan proses verifikasi pekerja asing mereka dalam kadar segera.

"Jika gagal berbuat demikian tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka mengikut undang-undang ditetapkan," katanya. - Sinar Harian