AMPANG JAYA: Seorang lelaki warga emas cedera ditetak jirannya kerana menggunakan laluan koridor yang sama ketika suspek sedang 'berehat' di hadapan rumah di Kampung Baru Ampang di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa yang berusia 64 tahun, dikatakan baharu sahaja tiba di hadapan rumahnya sebelum diserang suspek.

"Daripada siasatan, kita mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan suspek tidak suka mangsa lalu di depannya ketika lelaki itu duduk di koridor hadapan rumahnya.

"Ekoran itu, suspek mendekati dan bertindak menetak mangsa menggunakan pisau, yang mana ia terkena pada topi keledar yang dipakai mangsa.

"Suspek kemudian menolak mangsa sehingga jatuh dan menetak tangan kiri pengadu dengan pisau," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Menurut Mohamad Farouk, akibat serangan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian lengan sebelah kiri dan sedang menerima rawatan di Hospital Ampang, di sini.

Beliau turut memaklumkan, polis sedang menjalankan siasatan pelbagai aspek termasuk jika wujud tindakan provokrasi mangsa.

Dalam pada itu, menurutnya, semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai kontraktor itu mempunyai empat rekod lampau membabitkan dadah.

"Kita turut merampas sebilah pisau potong sayur yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," ujarnya.

Ekoran itu, katanya, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan untuk dibawa ke Mahkamah Ampang, di sini untuk mendapat perintah reman pada Khamis.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika disabitkan dengan kesalahan.