BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan mencederakan seekor anjing betina jalanan berwarna putih dengan sebatang buluh dalam kejadian di Jalan Tanjung Indah, Raja Uda, Butterworth Oktober tahun lepas.

Tertuduh, Ng Ah Leak, 75, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa telah secara tidak munasabah menjolok mata kiri anjing betina berwarna putih dengan sebatang buluh kuning sepanjang 2.4 meter sehingga menyebabkannya kesakitan dan menderita.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika anjing tersebut berada di dalam longkang belakang rumah pada jam 10.30 malam 24 Oktober 2020.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh di hukum dibawah Seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda di antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Pulau Pinang , Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh diwakili peguam, Lim  Jin Hoong.

Mahkamah menetapkan 13 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu, anjing yang menjadi mangsa kes tersebut berada dalam keadaan sihat serta barang kes turut dibawa ke mahkamah.