Warga emas yang hilang sejak Rabu lalu akhirnya telah ditemui dalam keadaan lemah di sebuah hutan kecil di Taman Buana, Petaling Jaya petang tadi.

Memetik laporan BERNAMA, Mohamaed Nawawi Buntal, 73, ditemui oleh anaknya, Mohamed Shukri, 34 dalam keadaan terbaring dengan kecederaan pada tangan kiri dan kaki kanan mangsa.

Tangan kiri mangsa dipercayai patah manakala kakinya pula terseliuh dipercayai terjatuh ke kawasan curam yang bersemak di dalam hutan kecil itu sekitar 2.30 petang ini.

Anak mangsa, Afnida, 37 berkata jarak lokasi kejadian dengan kediamannya tidak sampai dua kilometer dan ayahnya kini telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)untuk rawatan selanjutnya.

Afnida, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di PPUM, menjelaskan bahawa kehilangan ayahnya agak misteri kerana pencarian di kawasan hutan itu telah dilakukan sebanyak tiga kali namun masih juga tidak menemui sebarang hasil sehinggalah pada hari ini.

"Selama empat hari, ayah hanya bergantung sumber air hujan untuk minum dalam keadaan terbaring setelah kakinya terseliuh dan tidak mampu bangkit sendiri, katanya.

Afnida bertindak meminta bantuan orang ramai setelah bapanya hilang selepas keluar sendirian dari rumahnya di Pangsapuri Permai, Petaling Jaya, Rabu lepas.

Beliau kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya dan mengedarkan poster gambar bapanya di beberapa tempat serta memuat naik gambar di laman sosial.