MALAYSIA
Warga emas maut dalam kebakaran rumah dua tingkat

Dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Rapat Tambahan, Ipoh, malam tadi, seorang warga emas wanita maut di lokasi, seorang warga emas lelaki berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital, manakala empat ahli keluarga lain tidak cedera.
IPOH: Seorang wanita warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan, di sini, malam tadi.
Mangsa, Salmiah Nyak Matt, 84 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu kira-kira jam 9.19 malam.
Menurutnya, siasatan awal yang dijalankan pihak polis bersama Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan kejadian itu melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang didiami oleh enam ahli keluarga.“Mangsa seorang lelaki Melayu berumur 83 tahun berjaya diselamatkan dan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menerima rawatan.
“Manakala mangsa kedua, seorang wanita Melayu berumur 84 tahun telah meninggal di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Beliau berkata, empat ahli keluarga yang lain, berumur antara 18 dan 49 tahun berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Abang Zainal Abidin, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Katanya, polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang meninggal dunia berada di dalam bilik di tingkat bawah manakala seorang mangsa lelaki di tingkat atas.
“Ketua operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki satu pancutan, air tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.
Operasi tamat sepenuhnya jam 2.02 pagi.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon dalam kenyataan berasingan berkata, lelaki warga emas yang kini dirawat di HRPB dikenal pasti sebagai suami Salmiah, Abdul Ghani Ngah
Beliau berkata empat mangsa lain terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami