Seorang warga emas meninggal dunia selepas kereta yang dipandu anaknya terbabit dalam kemalangan di KM89.2 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, berhampiran Pasar Manik Urai, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Ismail Hamat, 73, yang berasal dari Kampung Sokor, Ketereh meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu anak lelaki mangsa berusia 27 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki longkang.

"Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama dua anaknya serta tiga cucunya yang berumur antara setahun hingga 13 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kok Lanas selepas menziarahi saudara di Chiku, Kuala Krai.

"Berikutan insiden itu, anak lelaki mangsa yang juga pemandu mengalami kecederaan di bahagian dada, manakala anak perempuannya berusia 26 tahun patah paha kanan. Tiga lagi cucu mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan cedera ringan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Katanya, mangsa yang meninggal dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, untuk dibedah siasat dan mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan selain sampel darah pemandu kereta turut diambil.

"Selain itu, saringan awal kencing yang dilakukan ke atas pemandu juga didapati negatif," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu akan dijalankan.