Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Caruk Pelanduk, dekat Sik, Kedah, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.40 malam berhubung kejadian itu.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik bersama lapan anggota dan dua jentera dari BBP Sik kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut Mohamadul Ehsan, kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Waja dengan motosikal jenis Honda Wave.

Mangsa yang menunggang motosikal ditemukan terbaring berlumuran darah di atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.