SINGAPURA: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura pada Khamis menganjurkan Hari Kebangsaan 2023 di pekarangan Kompleks Suruhanjaya itu di Jalan Jervois, di sini, dalam suasana penuh kemeriahan.

Bertemakan "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan", sambutan sederhana diadakan melibatkan kira-kira 70 warga Malaysia terdiri daripada perwakilan Wisma Putra, badan beruniform, kementerian dan agensi kerajaan serta sebilangan rakyat Malaysia.

Dalam ucapannya Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Khairul Nazran Abdul Rahman mengajak rakyat Malaysia di sini membulatkan tekad dan semangat untuk sentiasa mempertahankan keamanan dan keharmonian yang telah dikecapi selama ini.

Beliau turut menasihati agar warga Malaysia di sini untuk terus menjaga nama baik negara dan mematuhi peraturan dan undang-undang republik ini.

Sementara itu, Pensyarah Cemerlang, Jabatan Persuratan Bahasa Melayu Dr Azman Rahmat yang turut hadir di sambutan itu menyatakan Hari Merdeka menjadi salah satu elemen penting untuk pembentukan jati diri rakyat Malaysia.

".. terutamanya anak anak Malaysia.. anak anak Madani.. untuk menghayati erti kemerdekaan.. apabila cinta dan sayang akan negara seterusnya akan membentuk jati diri itu," katanya.

Bagi Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Dr Mardian Shah Omar, beliau melahirkan rasa amat bertuah dapat menyambut Hari Kemerdekaan kali ke 66 tahun ini bersama warga Malaysia di Singapura.

"Walaupun disambut dengan kesederhanaan tetapi kerjasama dan kemuafakatan antara badan beruniform dan orang awam di sini dapat dilihat sangat erat dan utuh...disitulah Merdeka sejahtera," katanya.

Mewakili badan beruniform, Brigadier Jeneral Ahmad Fareed Arifin berkata sambutan yang diadakan pada hari ini adalah 'ringkas' tetapi 'sangat bermakna.'

"Ia disambut dengan penuh semangat patriotism," katanya.

Agenda utama sambutan melibatkan upacara menaikkan bendera Malaysia dan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Negaraku' diikuti bacaan ikrar diketuai Brigadier Jeneral Ahmad Fareed.

Badan beruniform lain turut diwakili Menteri Kaunselor (Police Liaison) ACP Gurcharan Singh Udham Singh; dan Kaunselor (Imigresen) Azura Muhammed Kifli.

Hadir sama Menteri (Ekonomi) - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) - Kavitha Mathuvay; Menteri Kaunselor (Pelancongan) Salahuddin Mohd Ariffin; Kaunselor (Sumber Manusia) Noor Haryantie Noor Sidin; dan Eksekutif Retail and Gallery The Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (STATOS), Vivian Chia.

-- BERNAMA