KUALA LUMPUR : Sejumlah pengembara yang merupakan rakyat Malaysia kini dilaporkan terkandas di London selepas disahkan positif COVID-19 sebelum penerbangan pulang ke tanah air.

Memetik laporan New Straits Times, difahamkan mereka tidak menyangka perkara itu akan berlaku dan tidak bersedia menghadapi perubahan drastik terhadap penjadualan percutian mereka.

Malah, mereka terpaksa berdepan pembayaran tambahan seperti penginapan, ujian saringan PCR dan pembayaran tambahan lain.

Varian COVID-19 baharu, Omicron yang dilaporkan menunjukkan simptom ringan terhadap mereka yang dijangkiti juga tidak akan diketahui sehingga mereka melakukan ujian saringan wajib sebelum penerbangan.

Sebelum ini, kelonggaran sekatan yang diumumkan oleh kerajaan Biritan membolehkan pengembara luar melancong ke negara itu daripada beberapa negara termasuk Malaysia.

Ia sekali gus menyaksikan pelancong dari Malaysia tiba ke negara itu bagi tujuan percutian terutama ketika perayaan Krismas dan sambutan tahun baharu.

Susulan sambutan tersebut, United Kingdom kini menyaksikan peningkatan kes jangkitan mendadak.

Berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, sehingga 5 Januari lepas, sejumlah 27 laporan diterima dari rakyat Malaysia mewakili 39 individu yang kebanyakannya tidak dapat pulang ke tanah air selepas disahkan positif COVID-19.

Daripada 27 kes yang dilaporkan, hanya satu melibatkan kes rawatan di hospital.

Walaupun begitu, ramai rakyat Malaysia yang berada di London membantu meringankan beban mereka yang terkandas.

Contohnya di restoran Putera Puteri, Noor Amy Ismail menyediakan makanan untuk dihantar kepada keluarga mangsa yang terkandas di luar London.

“Kami menerima maklumat dari rakan-rakan di Malaysia berkenaan perkara ini. Jadi kami melakukan apa yang kami mampu,” ujarnya.

Malah, ada juga rakyat Malaysia yang berada di London bergegas untuk menggerakkan bantuan dengan mengagihkan bekalan makanan dan bantuan dari segi sokongan.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London juga menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan walaupun berdepan cabaran perubahan sekatan di beberapa tempat.

Pada masa sama, pejabatnya turut menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin meneruskan perjalanan mereka ke negara itu untuk mengambil maklum berkenaan perubahan sekatan kemasukan susulan peningkatan kes.

Paling penting, pengembara dinasihatkan untuk memiliki insurans pengembara dan insurans perubatan untuk memastikan mereka mempunyai dana mencukupi atau alternatif lain sekiranya perlu melanjutkan tempoh keberadaan mereka di negara itu.