KUALA LUMPUR: Waris kepada wartawan hiburan Siti Nor Hafiza Kamarudin atau dikenali sebagai Fiza Kamarudin, 40, yang meninggal dunia di London, United Kingdom layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata semakan rekod caruman ibu kepada dua cahaya mata masing-masing berusia 8 dan 10 tahun itu mendapati Allahyarham pernah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza, sejak Disember 2002.

"Sehubungan itu, suami Allahyarham Roshdi Ramli layak mendapat faedah Perkeso untuk sepanjang hayat, manakala dua anaknya diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata berdasarkan rekod caruman Perkeso milik Siti Nor Hafiza, keluarganya layak untuk menerima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975 setiap bulan dan FPM RM2,000 secara sekali bayar, menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Katanya Perkeso turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap penyaluran faedah itu berupaya membantu kelangsungan hidup mereka.

Kenyataan itu turut memaklumkan Mohammed Azman bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau dikenali sebagai 'Altimet' mengadakan Ziarah Prihatin ke rumah waris Allahyarham hari ini.

Pada 29 Dis lepas, Fiza Kamarudin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London pada 6.30 petang waktu tempatan atau 11.30 malam waktu Malaysia.

-- BERNAMA