Skip to main content

Malaysia

Waspada penyalahgunaan nama MPPWP, elak terperdaya - JWP

Tangkap layar video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pusat urut yang tular di media sosial.
Media sebelum ini melaporkan dua individu dari MPPWP Wangsa Maju diarahkan melepaskan jawatan masing-masing serta-merta susulan video tular berkaitan dakwaan meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan. - Gambar fail/ Media sosial

PUTRAJAYA: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menggesa orang ramai agar  tidak mudah terperdaya dengan mana-mana individu atau ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) yang menggunakan nama atau kedudukan MPPWP bagi tujuan yang meragukan.

JWP dalam kenyataan hari ini memaklumkan MPPWP bukan sebuah entiti yang ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti komersial atau perniagaan bagi menjana pendapatan serta keuntungan.

Advertisement

"Peranan utama MPPWP adalah tertumpu kepada penyelarasan aduan rakyat, penglibatan komuniti secara aktif, serta pelaksanaan program kesejahteraan penduduk. 

"Sebagai rakan strategik kerajaan, MPPWP berfungsi untuk memperkasakan komuniti bandar melalui pendekatan yang inklusif, telus dan berintegriti tinggi," menurut kenyataan itu.

JWP memaklumkan ahli MPPWP tidak boleh menyalahgunakan identiti organisasi, termasuk penggunaan kad perniagaan bercetak logo MPPWP bagi tujuan perniagaan, kutipan dana tanpa kebenaran atau tujuan komersial termasuk kepentingan peribadi yang di luar bidang tugas rasmi mereka.

"Segala gerak kerja MPPWP adalah tertakluk kepada peraturan kewangan dan pentadbiran kerajaan termasuk Arahan Perbendaharaan, Pekeliling Perbendaharaan Malaysia serta Garis Panduan Penubuhan dan Pengurusan MPPWP,” menurut kenyataan itu.

JWP memaklumkan tindakan tegas di bawah undang-undang dan peraturan sedia ada boleh diambil terhadap mana-mana pihak atau ahli MPPWP yang didapati menyalahgunakan kedudukan atau nama MPPWP untuk kepentingan peribadi.

Menurut kenyataan itu, MPPWP merupakan sebuah platform rasmi perwakilan komuniti yang ditubuhkan khusus bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

"Sehubungan itu, sebarang keraguan mengenai penglibatan ahli MPPWP dalam aktiviti bukan rasmi hendaklah dirujuk terus kepada JWP untuk pengesahan," menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan dua individu dari MPPWP Wangsa Maju diarahkan melepaskan jawatan masing-masing serta-merta susulan video tular berkaitan dakwaan meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video