SYARIKAT gergasi teknologi Yahoo dilapor akan memberhentikan lebih 20 peratus tenaga kerjanya menjelang akhir tahun ini.

Langkah itu akan menghapuskan 1,000 jawatan dalam minggu ini sahaja, kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan pada Khamis.

Axios melaporkan lebih 1,600 pekerja akan kehilangan pekerjaan mereka dalam langkah pembuangan pekerja itu.

Dianggarkan Yahoo mempunyai sekitar 8,000 hingga 10,000 pekerja ketika ini.

Pemberhentian itu adalah sebahagian daripada usaha meluas oleh syarikat untuk menyelaraskan operasi dalam unit pengiklanan Yahoo.

Strategi segmen Yahoo untuk Perniagaan telah "bergelut untuk memenuhi piawaian tinggi kami secara keseluruhan".

"Disebabkan tumpuan baharu kumpulan Pengiklanan Yahoo ini, kami akan mengurangkan tenaga kerja di bahagian Yahoo untuk Perniagaan sebanyak hampir 50 peratus menjelang akhir 2023," kata jurucakap Yahoo kepada CNBC.

Yahoo berkata syarikat itu akan mengalihkan usaha kepada perkongsian 30 tahun dengan Taboola, sebuah syarikat pengiklanan digital, untuk memenuhi perkhidmatan iklan.

"Keputusan ini bukan mudah, tetapi kami percaya perubahan ini akan memudahkan dan mengukuhkan perniagaan pengiklanan kami untuk jangka panjang, serta membolehkan Yahoo memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan dan rakan kongsi kami," kata jurucakap Yahoo itu lagi.

Syarikat itu juga akan menyediakan pakej pemberhentian kepada pekerja domestik yang kehilangan pekerjaan.

Yahoo bagaimanapun tiada memberikan butiran tentang saiz atau nilai pakej pemberhentian itu.