Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia Kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah berangkat tiba di Masjid Wilayah Persekutuan pada jam 11.00 pagi bagi menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia ini.

Pada majlis ini, Baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM dan Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkenan mengurniakan sumbangan daripada MAIWP sejumlah RM1.8 juta kepada 6,000 orang veteran ATM dalam kalangan B40.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan ampun kurnia berupa wang tunai dan hamper barangan makanan asas kepada 10 orang veteran ATM sebagai simbolik perkenan Seri Paduka Baginda berangkat menyantuni golongan veteran ATM yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara.

Perkenan Al-Sultan Abdullah berangkat ke majlis ini, selain mencerminkan keperibadian tinggi menyantuni golongan tersebut, turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap golongan yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup mereka.

Majlis hari ini merupakan aktiviti ketiga Sultan Abdullah berkenan berangkat hadir, yang diadakan di luar Istana Negara, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Bagi dua aktiviti-aktiviti terdahulu, Baginda telah berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan anak-anak yatim pada 12 Jun dan golongan gelandangan pada 10 Jun.

Majlis dianjurkan MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Istana Negara, Kementerian Pertahanan dan Bantu-Bantu Malaysia.

Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Menteri JPM (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary; Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail.