KUALA LUMPUR: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) telah melantik Datuk Yasmin Mahmood sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutifnya berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan, MIDF berkata Yasmin memiliki pengalaman kepimpinan yang luas dalam bidang maklumat dan teknologi, setelah mengetuai operasi serantau dan Malaysia bagi Dell Asia Pacific dan Microsoft Malaysia Sdn Bhd.

Pada 2014, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corp Sdn Bhd (MDEC).

"Sepanjang tempoh beliau berkhidmat di MDEC, ekonomi digital negara berkembang maju ke hadapan antara lain dalam transformasi digital, kandungan kreatif dan dagangan digital," kata MIDF.

Pada Isnin, Pos Malaysia Bhd mengumumkan Yasmin akan meletak jawatan sebagai pengerusinya berkuat kuasa hari ini, selepas berkhidmat selama dua tahun.

Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata kumpulan itu mengalu-alukan sumbangan beliau terutama ketika MIDF mengorak langkah ke arah digitalisasi.

"Saya pasti Yasmin akan mengukuhkan lembaga pengarah MIDF, menerusi pengalaman luas beliau dalam sektor swasta dan agensi pembangunan," katanya.

-- BERNAMA