DOHA: Bekas pemain import Selangor FC Yazan Al-Arab berharap dapat kembali beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) suatu hari nanti.

Bek tengah Jordan berusia 27 tahun itu turut berharap agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik balik penggantungan seumur hidup yang dikenakan terhadapnya susulan tindakan menyepak pengadil dalam satu aksi suku akhir tahun lepas.

Yazan yang turut membantu kemenangan 4-0 Jordan mengatasi Malaysia dalam aksi Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 malam tadi berkata, beliau tidak menyimpan dendam sebaliknya berharap skuad Harimau Malaya bangkit dalam perlawanan berikutnya menentang Bahrain dan Korea Selatan nanti.

"Sejujurnya, apa yang berlaku sangat sukar untuk saya. Selepas perlawanan menentang Terengganu FC itu, tiga bulan berikutnya amat sulit, momen paling sukar dalam hidup kerana tidak dapat beraksi bersama pasukan kebangsaan dan terlepas sekurang-kurangnya lima aksi antarabangsa.

"Saya sangat sedih mengenai hukuman penggantungan itu. Saya harap, pada masa depan, mereka (FAM) dapat berikan saya peluang untuk kembali bermain di Malaysia sebab saya sayangkan peminat di Malaysia terutama penyokong Selangor," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Yazan yang kini beraksi bersama kelab Iraq, Al Shorta, digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di Malaysia.

Ia susulan tindakannya yang dilihat menyepak pengadil susulan tidak berpuas hati kerana dilayangkan kad merah ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor FC dan Terengganu FC di Stadium MBPJ pada 24 Sept tahun lepas.

"Saya tahu saya melakukan kesalahan...apabila saya menonton video selepas perlawanan, saya katakan ia bukan saya...Saya harap pada masa depan semuanya akan baik sahaja," katanya.

-- BERNAMA