ALOR SETAR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa akan menggunakan kaedah pemilihan calon secara langsung atau 'direct candidate' pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember depan.

Menurut beliau, kaedah meletakkan calon tanpa melihat kepada kedudukan atau hierarki dalam parti itu telah diterima dengan baik oleh pengundi sebelum ini.

"Kita pernah melakukan pemilihan calon secara 'direct candidate', atau calon langsung, tanpa melihat kepada hierarki jawatan di dalam parti,  dan ini telah diterima dengan baik, dan besar kemungkinan kaedah sama akan kita lakukan di (PRK) Parlimen Kemaman ini,

"(Apa) yang penting (juga) bukan hanya kemenangan (di PRK Kemaman), tetapi sekurangnya majoriti seteru politik kita boleh dikurangkan, itu adalah indikasi kepada kejayaan yang akan kita mulakan di Kemaman," katanya.

Zahid berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Retreat Biro Politik UMNO Bahagian-bahagian Kedah di Alor Setar pada Sabtu.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan bahawa beliau tidak bertanding pada PRK Kemaman yang akan diadakan pada 2 Disember nanti.

Beliau turut memaklumkan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu akan dibuat oleh Presiden UMNO dalam majlis khas di Kuala Lumpur pada 13 November depan.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Dalam PRU-15, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertarungan empat dengan meraih 65,714 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).