Pasukan mencari dan menyelamat di Perth akan mengerahkan penggunaan kenderaan dasar laut Bluefin-21 di Lautan Hindi secepat mungkin, bagi memastikan sama ada isyarat yang dikesan sebelum ini datangnya dari kotak hitam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang.

Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston berkata Kapal Tentera Laut Australia, Ocean Shield akan berhenti mencari isyarat 'ping' lewat hari ini sebelum Bluefin-21 dikerahkan dalam masa terdekat.

"Kami tidak dapat mengesan sebarang isyarat dalam tempoh enam hari dan saya fikir tiba masanya untuk mencari di dasar laut pula," katanya semasa satu sidang media di Perth hari ini.

Houston berkata analisis daripada empat isyarat yang dikesan oleh Ocean Shield sebelum ini, membolehkan kawasan pencarian di dasar laut diperkecilkan dan lebih mudah diuruskan.

"Bluefin-21 dilengkapi dengan pengimbas sonar pelbagai sisi.

"Setiap misi yang dijalankan oleh Bluefin-21 akan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk disiapkan. Ia akan mengambil masa dua jam untuk sampai ke dasar laut, ia akan membuat kerja pencarian untuk 16 jam, ia akan mengambil masa dua jam untuk kembali ke permukaan air dan empat jam lagi diperlukan untuk memuat turun data darinya untuk dianalisis.

"Bluefin-21, semasa beroperasi di dalam 'mode' sonar, akan menghantar satu denyutan aktif yang akan menghasilkan peta dasar laut tiga dimensi beresolusi tinggi,' katanya.

Houston berkata misi pertama Bluefin-21 akan melingkupi kawasan pencarian lima kali lapan kilometer, iaitu kawasan seluas 40 kilometer persegi.

Namun demikian, Houston memberi amaran bahawa bangkai pesawat perlu dikesan secara visual sebelum disahkan bahawa ia telah berakhir di Lautan Hindi.

"Ia mungkin tidak (berakhir di Lautan Hindi)," katanya.

Houston sebelum ini menegaskan bahawa pasukan pencarian tidak akan mengarahkan penggunaan sebarang kenderaan atau peralatan dasar laut sehingga lebih banyak isyarat dari kotak hitam, dikesan.