Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau tidak percaya bahawa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 berada di Teluk Bengal.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) sebelum ini bahawa, serpihan pesawat MH370 tidak mungkin berada di Teluk Bengal.

“Kita bersetuju dengan kenyataan Houston yang menyatakan tidak mungkin MH370 di sana. Banyak petunjuk sebelum ini membuktikan tiada penemuan. Bukan perkara baru untuk kita, namun maklumat ini telah dihantar ke negara jiran untuk mendapat pengesahan.

“Buat masa ini, tiga buah kapal dari tentera laut Bangladesh kini berada di kawasan tersebut tetapi belum menemui apa-apa” Hishammuddin berkata begitu di dalam sebuah sidang media di ibu negara petang Jumaat.

Hishammuddin turut memberitahu bahawa keputusan untuk mengerah kapal SapuraKencana belum diputuskan namun perkara tersebut akan dilakukan berdasarkan informasi yang sah.

“Jika kita perlu mengerah apa-apa aset, sudah pasti aset SapuraKencana yang akan bertanggungjawab dalam fasa baru misi pencarian dan ia akan memakan kos yang tinggi dan jika perlu berpatah balik, ia akan memakan masa dalam 14 hari.

“Dalam perkara ini, jika pencarian tidak menemui apa-apa, bolehkah anda semua bayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga dalam menangani perkara yang sama iaitu mengharap dan kemudan kecewa dengan hasil penemuan” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin akan mengetuai mesyuarat peringkat menteri tiga hala yang akan diadakan di Canberra pada 5 Mei.

Mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Australia dan Menteri Infrastruktur Warren Truss.

Dalam mesyuarat itu nanti, Hishammuddin diiringi oleh Ketua Jawatankuasa Waris Penumpang, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, Ketua Jawatankuasa Teknikal , Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Ketua Jawatankuasa Aset, Timbalan Menteri Pertahanan Abdul Rahim Bakri.

Turut hadir di mesyuarat di Canberra nanti adalah Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya serta pegawai-pegawai kanan dari China.

Terdahulu, Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston yakin kawasan carian untuk pesawat Malaysia Airlines MH370 di selatan Lautan Hindi adalah tepat.

"Berdasarkan analisisi data ‘handshake’ di antara pesawat dan satelit serta simulasi yang dilakukan, , saya yakin bahawa selatan Lautan Hindi adalah adalah kawasan carian yang betul,” katanya pada sidang akhbar bersama di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Sebuah firma penerokaan laut dari Australia bernama GeoResonance melaporkan bahawa mereka mungkin telah menemui bangkai pesawat MH370 di Teluk Bengal.

Teluk Bengal terletak di antara India dan Myanmar dan 5,000km dari kawasan carian yang ditumpukan JACC sekarang.