Usaha mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia MH370, yang hilang sejak 8 Mac lalu memasuki hari ke 38 di tengah-tengah kebimbangan hayat bateri kotak hitam pesawat telah tamat tempoh hayatnya.

Hari ini usaha dipergiatkan dengan 27 aset digembleng untuk operasi itu termasuk 11 pesawat tentera, sebuah pesawat awam dan 5 kapal digerakkan.

Menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), kawasan pencarian meliputi keluasan 47,644 kilometer persegi dengan tumpuan di sekitar 2,200 kilometer ke barat laut Perth.

Turut dimaklumkan, Kapal Tentera Laut Australia Ocean Shield akan menumpukan kepada usaha cuba untuk mengesan sekiranya terdapat sebarang kesan denyutan dari kotak hitam yang dikuatiri sudah tamat tempoh hayat baterinya. Pengesan isyarat 'ping' atau Towed Pinger Locator akan terus digunakan bagi tujuan itu.

Pesawat AP-3C Orions pula akan cuba mengesan sebarang isyarat akustik dari udara dengan kerjasama kapal Ocean Shield. Operasi akan turut dibantu kapal HMS Echo yang berada di kawasan pencarian yang sama dengan Ocean Shield.

Turut dimaklumkan tiada sebarang isyarat berjaya dikesan sepanjang 24 jam yang lalu.

Cuaca diramalkan hujan sekejap-kejap dengan ombak dijangka setinggi 1.5 meter manakala jarak penglihatan sekitar tiga hingga lima kilometer.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika pesawat itu berada di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke bahagian barat Semenanjung Malaysia termasuk ke Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Pencarian dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pada 24 Mac, hari ke-17 operasi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit syarikat telekomunikasi United Kingdom, Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom.

AMSA juga akan meneruskan usaha mencari pesawat menggunakan analisis pelbagai disiplin berkaitan komunikasi satelit dan prestasi pesawat MH370, yang disediakan pasukan penyiasat pelbagai negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia.