Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek hari ini mengumumkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada kempen Barisan Nasional, terutamanya calon parti itu.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan proses menyuntik semangat baru ke dalam parti dan menyusun barisan pelapis untuk tampil ke depan.

"Hampir separuh daripada calon untuk kerusi DUN dan Parlimen akan terdiri daripada muka baru," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau juga yakin MCA akan membentuk satu pasukan calon pilihan raya yang mampu memberikan saingan yang kuat kepada Pakatan Rakyat.

Dalam pilihan raya umum 2008, MCA bertanding 40 kerusi tetapi menang hanya 15 kerusi. Ia adalah prestasi terburuk parti itu dalam sejarah.

Jelas Soi Lek, beliau jadi Presiden MCA selepas krisis dalaman parti yang berlarutan selama dua tahun.

Katanya, selepas menumpukan sepenuh masa untuk memulihkan parti, MCA kini "lebih fokus, bersatu dan ahli-ahlinya lebih bersemangat" untuk menghadapi pilihan raya umum.

Krisis itu bermula semasa Soi Lek jadi timbalan kepada Presiden MCA ketika itu, Datuk Seri Ong Tee Keat selepas kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya umum yang lepas.

Mereka saling tuduh-menuduh dan menunjukkan secara terbuka sikap tidak percaya antara satu sama lain, dan di tengah-tengah itu, berdebat tentang soal moral yang berkisar kepada video lucah yang membabitkan Soi Lek dan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Kemuncaknya ialah Mesyuarat Agung Khas pada Oktober 2009 yang kemudian memutuskan menolak kedua-dua mereka sebagai presiden dan timbalan presiden.

Tee Keat bagaimanapun tidakletak jawatan kerana tidak mahu perpecahan berlaku dalam parti Beliau sebaliknya melantik Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai sebagai timbalannya, dan bukannya Soi Lek, dan langkah itu dilihat memburukkan lagi krisis.

Pada Mesyuarat Agung Khas yang kedua Mac 2010, perwakilan memutuskan sokongan kepada Soi Lek dan Tee Keat terpaksa berundur.

Menurut Soi Lek, selepas menumpukan sepenuh masa untuk memulihkan parti, MCA kini "lebih fokus, bersatu dan ahli-ahlinya lebih bersemangat" untuk menghadapi pilihan raya umum.

Katanya lagi, beliau telah bersusah payah menggerakkan projek dan program bagi memastikan MCA kekal relevan dan parti itu terus mendapat sokongan rakyat serta memainkan peranan bermakna dalam kerajaan.

"Hari ini saya mengotakan kata-kata apabila menyertakan pemimpin muda dan baru dalam proses peremajaan supaya parti akan terus kekal relevan," katanya.

Jelas beliau, keputusan beliau untuk tidak bertanding dalam PRU-13 adalah untuk membuktikan beliau melakukan apa yang dikatakannya selama ini.