Konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini terbukti menjadi formula yang berjaya membawa pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan keamanan serta kestabilan di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Tiada siapa pun yang boleh menafikan bahawa negara ini berkembang dan menjadi kaya kerana BN berupaya mentadbir negara ini dengan baik," katanya pada majlis jamuan malam bagi meraikan beliau di sini Selasa.

Dr Mahathir menegaskan terdapat sesetengah pihak percaya bahawa Malaysia telahpun menjadi sebuah negara maju, hasil usaha kaum utamanya selain penduduk di Sabah dan Sarawak yang sedia bekerjasama dalam sebuah parti gabungan demi kejayaan negara ini.

Sambil membidas parti pembangkang yang cuba meniru cara BN mewujudkan sebuah perikatan, beliau berkata parti gabungan pembangkang bukanlah tulen.

Tidak seperti BN, katanya, mereka bertanding dalam pilihan raya menggunakan lambang masing-masing dan kekurangan ideologi serta dasar bersama.

"Saya harap apabila anda mengundi dalam pilihan raya akan datang, ingatlah bahawa orang lain mungkin membuat janji dalam manifesto mereka tetapi mereka berkata manifesto bukanlah janji," katanya.

Dr Mahathir berkata dengan pengalaman 56 tahun memerintah negara ini, BN mencatat rekod yang baik dalam membawa pembangunan yang boleh dilihat di mana-mana sahaja, termasuk bidang pengangkutan.

Beliau berkata rakyat Malaysia turut mengasah kemahiran berniaga hingga ke tahap melahirkan hartawan dalam kalangan mereka.