KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu menjelaskan sama ada parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu masih meletakkan hudud dalam agenda mereka atau sebaliknya, kata Anggota Jawatankuasa Amanah Nasional, Muhammad Faiz Fadzil.

Muhammad Faiz berkata, pendirian sebenar Pas wajar dijelaskan ekoran dakwaan dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dilaporkan media sebelum ini.

"Dakwaan dibuat Muhyiddin itu adalah serius. Adakah nyawa perjuangan PAS kini sudah tiada?" katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada Sabtu.

Muhammad Faiz juga berkata sebelum ini beberapa pemimpin utama Pas antaranya Allahyarham Datuk Haron Din yang menegaskan bahawa agenda melaksanakan hudud adalah 'nyawa' bagi parti itu.

Justeru Muhammad Faiz yang juga Adun Permatang Pasir di Pulau Pinang mendesak Abdul Hadi menjelaskan kepada rakyat apakah kompas politik PAS ketika ini.

Katanya dengan apa yang dapat dilihat orang ramai ketika ini Pas ternyata sudah mengubah agenda perjuangan mereka dan Islam bukan lagi dasar yang menjadi panduan gerakan parti berkenaan.

Keadaan itu, kata Muhammad Faiz, berlaku selepas Pas berkawan dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah tambah Muhammad Faiz sejak menjadi kerajaan tiada satu pun dasar Islam yang dijadikan agenda negara sama ada melalui kerajaan Muhyiddin atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Jangan jadi seperti Muafakat Nasional yang dikatakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang nampak tidak hidup tetapi tidak mati. Hudud bukan zombi," katanya.

Sebelum ini dalam satu majlis makan malam bersama masyarakat Cina di Johor Bahru Muhyiddin dilaporkan memberitahu bagaimana Pas kini tidak lagi bercakap mengenai isu "potong-potong" sepanjang tempoh dia menjadi perdana menteri pada 2020.