KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun terdapat segelintir pemimpin UMNO Pusat menarik sokongan mereka.

Kata wakil rakyat UMNO dari Sabah itu, beliau masih menyokong kerajaan PN sebagaimana pendiriannya sebelum ini dan menyifatkan tiada perubahan berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 

“Saya akan terus memberi sokongan kerajaan PN dan soal kedudukan Perdana Menteri itu, kita serahkan kepada Parlimen sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri pada tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas berkenaan dengan kedudukan Perdana Menteri, jelasnya perkara itu diserahkan sepenuhnya pada hemat Dewan Rakyat pada September Depan.

BACA: MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM

Selain itu, usaha Astro AWANI untuk mendapatkan lagi seorang pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak berjaya.

Bung yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah belum mengulas berhubung dengan kenyataan sokongan terhadap Kerajaan PN.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

BACA: GRS jamin kerajaan Sabah terus utuh, pertahan mandat rakyat

Terdahulu, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan semua pemimpin GRS bersetuju untuk mengekalkan kerjasama bagi membolehkan GRS terus memerintah negeri tersebut.

Beliau dalam masa yang sama turut menyatakan komitmen menjunjung mandat yang diberikan oleh rakyat terhadap GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun lalu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM

BACA: PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini

Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini juga menegaskan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Perdana Menteri turut telah menyembah maklum kepada Baginda pada Rabu, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.