MARANG: Ahli politik Pas Terengganu disaran memohon surat tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebelum mengajar atau menyampaikan kuliah di masjid serta surau di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Terengganu Datuk Husain Awang berkata setakat ini telah ada beberapa ahli politik termasuk wakil rakyat daripada parti itu yang memohon surat tauliah berkenaan.

"Insya-Allah kita mohonlah (surat tauliah). Ada yang telah mohon, ada yang dapat, ada yang tidak dapat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye dan Syria Peringkat Pas Terengganu di Masjid Rusila di sini hari ini.

Penyerahan tabung bencana yang berjaya mencapai kutipan hampir RM800,000 itu disempurnakan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum itu turut menyampaikan kuliah duha mingguan di masjid tersebut.

Bagaimanapun Husain menegaskan kebanyakan ahli politik Pas Terengganu yang mengajar atau memberikan kuliah di masjid serta surau, hanya menyampaikan ilmu agama dan bukannya politik kerana ia adalah tanggungjawab sebagai seorang Islam untuk menyampaikan dakwah tidak kira di mana pun berada.

Baru-baru ini MAIDAM mengeluarkan arahan larangan penyampaian kuliah agama, ceramah dan penganjuran aktiviti berunsur politik oleh ahli politik di semua masjid dan surau di Terengganu.

Yang Dipertuanya Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dilaporkan berkata selain larangan kuliah, ceramah dan aktiviti berunsur politik, semua Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara juga tidak dibenarkan menjadi imam dan khatib di masjid dan surau di negeri ini.

Malah katanya semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan penceramah, pengkuliah, tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan yang dikeluarkan oleh MAIDAM.

-- BERNAMA