SHAH ALAM: Kelompongan Akta Anti Lompat Parti berlaku disebabkan sikap tidak tetap pendirian pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang akhirnya memakan diri.

Timbalan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danish Hairudin berkata, ia susulan empat Ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, PN menerima akibatnya kerana penentangan ke atas draf Rang Undang-undang (RUU) yang diusulkan pada tahun 2021 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Draf tersebut menyatakan jika seseorang Ahli Parlimen bertukar sokongan di dalam Dewan Rakyat terhadap blok berlawanan, mereka tetap akan dikira melompat parti walaupun tidak isytihar keluar atau dipecat parti.

“Wan Junaidi pernah mengatakan kelompongan dan kesan ini tetapi ketika itu dalam Kabinet yang menentang klausa berkenaan adalah daripada PN iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Ia kerana mereka dah terbiasa melompat-lompat selain menjangkakan mudah untuk menarik ahli-ahli Parlimen lain sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 lalu tidak cukup korum tetapi tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 420 yang bertajuk ‘Undang-undang Lompat Parti Lompong?’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Setiausaha Negeri PN, Dr Afif Bahardin dan Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Ooi Kok Hin.

Tambah Danish, PN perlu sedar bahawa terlaksana akta tersebut disebabkan Langkah Sheraton.

“Belum pernah lagi dalam sejarah negara kita, lebih 30 Ahli Parlimen menumbangkan kerajaan dengan melompat daripada parti asal mereka.

“Ini telah memberi satu mesej yang kurang sihat kepada masyarakat apabila melihat Ahli Parlimen lebih berkuasa daripada rakyat sendiri,” katanya.

Tegas beliau, semua pihak harus memainkan peranan untuk mengekang aktiviti ‘katak’ tersebut yang membuatkan rakyat kini penat dan tidak percaya kepada ahli politik terutama golongan muda. - Sinar Harian