KUALA LUMPUR : Pelaksanaan Rang Undang-undang Antilompat Parti perlu dilakukan secara berperingkat dan langkah permulaan perlu dengan cara menangani budaya lompat berkenaan.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menyarankan, langkah lain termasuk mengambil kira proses untuk mengadakan pilihan raya.

“Mulakan dengan menggubal undang-undang mengenai lompat parti yang jelas, kemudian kita perlu melihat semula prosedur pemilihan semula,” kata Ahli Parlimen Puchong itu ketika persidangan Undang-undang Antilompat Parti di Wisma Badan Peguam Malaysia, di sini, pada Isnin.

Katanya, Rang Undang-undang Antilompat Parti perlu dijadikan sebagai satu pindaan Perlembagaan yang turut melibatkan Ahli Parlimen yang meninggalkan parti selepas menang dalam pilihan raya.

Langkah tersebut bertujuan untuk menjimatkan masa berikutan proses untuk menjalankan semula pilihan raya yang mengambil masa dan akan menyebabkan kelewatan.

“Langkah paling sesuai adalah memasukkan kesemua faktor dalam rang undang-undang supaya ia hanya melibatkan satu pindaan perlembagaan.

“Apa yang menjadi persoalan ialah sama ada kita mampu atau tidak untuk lakukan tepat pada masanya,” tambahnya.