Dewan Pemuda Pas mempunyai ketua baharu selepas anak Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Muhammad Khalil diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi sesi 2017 hingga 2019.

Khalil, 40, yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Dewan Pemuda dipilih bagi menggantikan Ketua Dewan Pemuda sebelum ini, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Mohd Abduh, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas melepaskan jawatan kerana ingin memberi laluan buat muka baharu. Beliau kini bertanding bagi salah satu posisi dalam Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti.

Selain itu, Lembaga Pemilihan Pas Pusat turut mengumumkan Khairil Nizam Khiruddin sebagai Timbalan Ketua Dewan Pemuda yang baharu selepas beliau juga menang tanpa bertanding.

Khairil Nizam sebelum ini memegang jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda.

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari diisytiharkan sebagai Naib Ketua yang baharu bagi sesi kali ini setelah memegang jawatan Ketua Penerangan Dewan Pemuda sebelum ini.

Walau bagaimanapun, pengundian bagi 12 Ahli Jawatankuasa pergerakan tersebut akan diteruskan daripada kalangan 14 calon yang bertanding.

Pemilihan tersebut akan diadakan dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas pada 27 April ini di Alor Setar, Kedah.