Skip to main content

Politik

[ANALISIS] PRN Johor: Cerminan PRU atau isyarat politik baharu?

[TB]_MB Johor_FB Onn Hafiz
Dalam semua dinamika ini, PRN Johor akhirnya menjadi ujian besar kepada Onn Hafiz, yang mengambil alih kepimpinan Kerajaan Negeri daripada Hasni Mohamad. - Gambar fail
Advertisement

SERINGKALI pemerhati politik menggambarkan Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 sebagai petunjuk awal, atau cerminan realiti kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Secara luaran, pertembungan antara pemain besar seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), termasuk hubungan kompleks Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, mencerminkan struktur politik nasional yang bercelaru ketika ini.

Namun apabila dilihat lebih dekat melalui senarai calon dan dinamika semasa, PRN Johor tidak lagi bergerak dalam kerangka yang sama. 

Ia bukan sekadar pertandingan antara gabungan. Ia adalah medan yang semakin kusut, di mana percaturan sebenar berlaku di dalam blok pengundi yang sama, bukan semata-mata antara blok yang berbeza.

Senarai Calon dan Isyarat Perubahan

Senarai calon setiap gabungan politik, mula memberi gambaran jelas tentang pendekatan yang digunapakai.

BN masih cuba mengekalkan pendekatan berasaskan struktur parti, dengan sebahagian calon diambil daripada kepimpinan bahagian dan jaringan sedia ada. 

Namun, keputusan menampilkan semula beberapa wajah lama seperti bekas menteri dan senator menimbulkan reaksi bercampur di peringkat akar umbi.

Bagi sebahagian penyokong, langkah ini dilihat sebagai usaha memastikan kesinambungan pengalaman dan kestabilan. 

Tetapi bagi segmen pengundi lain, khususnya yang mengharapkan pembaharuan, ia menimbulkan persoalan sama ada BN benar-benar bersedia membawa perubahan, atau sekadar mengitar semula kepimpinan lama dalam wajah baharu.

Sedikit sebanyak memburukkan lagi keadaan, kritikan terbuka bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO,  Datuk Puad Zarkashi terhadap kepimpinan BN Johor, yang beliau gambarkan sebagai ‘boneka politik’, dan tindakan keluar parti oleh bekas pemimpin UMNO Negeri.

 

Image
KUALA LUMPUR, 27 April — ADUN Rengit yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi ketika bercakap pada taklimat media Menteri Pendidikan Tinggi bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) antara Malaysia dan Turkiye serta Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn di sini hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pakatan Harapan pula menampilkan gabungan tokoh nasional dan profesional. 

Nama seperti bekas Menteri Pendidikan  Maszlee Malik, yang diletakkan sebagai ‘poster boy PH’, bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat, dan dua bekas Exco Negeri seperti Dzulkefly Ahmad dan Mohd Khuzzan Abu Bakar bukan sahaja calon, tetapi membawa naratif kepimpinan alternatif.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional, dengan gabungan tokoh dan jentera. 

Penempatan bekas Menteri Besar seperti Datuk Sahruddin Jamal dan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon di utara Johor menunjukkan usaha mempertahankan pengaruh lama. 

Namun keberkesanan sebenar bergantung kepada jentera Pas, yang tidak semestinya bergerak sepenuhnya selari dengan Bersatu.

Pada masa yang sama, kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipelopori oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi membawa satu dimensi baru.  

 

Image
KUALA LUMPUR, 17 Mei -- Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi ahli baharu Parti Bersama Malaysia (PBM) pada Perhimpunan Hala Tuju Politik di PJ Perfoming Art Center hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Realitinya, Bersama tidak mengukuhkan Pakatan Harapan, sebaliknya ia mencabar ruang yang sebelum ini dikuasai oleh PH dalam kalangan pengundi bandar dan profesional. Ini menandakan satu perubahan penting. 

Persaingan tidak lagi tertumpu antara gabungan, tetapi sudah meresap ke dalam segmen pengundi yang sama.

Kerusi Panas dan Pertembungan Naratif

Beberapa kerusi DUN mula mencerminkan pertarungan yang lebih besar daripada sekadar pilihan wakil rakyat.

Puteri Wangsa, yang sering dianggap sebagai ‘The Jewel of the Crown’, menjadi simbol cabaran terhadap kepimpinan negeri apabila Maszlee tampil sebagai wajah utama PH. Dengan jumlah pengundi terbesar seramai 120,000 dan masyrakat progresif yang berdaya saing, pertembungan di sini membawa makna politik yang lebih luas. 

Simpang Jeram, Mahkota, dan Maharani, antara lain, pula memperlihatkan realiti pertandingan pelbagai penjuru. 

Kehadiran MUDA di bawah pimpinan Syed Saddiq dan Amira Aisya, dan potensi pengaruh Bersama menjadikan kerusi ini terdedah kepada perpecahan undi yang ketara.

Bukit Batu menjadi medan penting untuk mengukur tingkah laku pengundi bandar dan belia. Di sini, pertandingan bukan lagi antara BN, PH dan PN sahaja, sebaliknya menjadi pertarungan dalam blok pengundi yang sebelum ini cenderung kepada PH.

Di utara Johor, Perikatan Nasional cuba mengukuhkan kedudukan melalui tokoh. 

Namun jurang antara PAS dan Bersatu dalam penyelarasan operasi menimbulkan persoalan sama ada sokongan yang ada dapat diterjemahkan secara optimum.

Apabila Istana Diseret ke Dalam Politik

Antara perkembangan paling sensitif dalam PRN Johor ialah bagaimana isu berkait Istana disentuh secara terbuka oleh tokoh politik dan veteran UMNO seperti Puad Zarkashi.

Dalam konteks Johor, ini bukan sekadar kenyataan politik biasa. Institusi diraja mempunyai kedudukan yang tinggi dalam struktur sosial dan emosi pengundi Melayu, apatah lagi Bangsa Johor.

Apabila isu ini dibawa ke dalam gelanggang politik, kesannya melangkaui parti.

Ia boleh mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan pengundi Melayu yang melihat institusi tersebut sebagai sesuatu yang perlu dihormati. 

Pada masa yang sama, ia mewujudkan keadaan di mana kepimpinan negeri tidak bebas menjawab secara terbuka. Keadaan ini menghasilkan ketidakseimbangan dalam naratif. 

Tuduhan boleh meresap cepat, tetapi penjelasan terpaksa bergerak perlahan.

Dalam politik yang semakin dipacu persepsi, keadaan ini memberi kelebihan kepada pihak yang menyerang.

Psikologi Pengundi yang Berubah

PRN Johor memperlihatkan perubahan besar dalam psikologi pengundi.

Pengundi Melayu tidak lagi bergerak sebagai satu blok yang seragam. Mereka terbahagi antara naratif kestabilan yang dibawa BN dan naratif identiti yang dibawa PN. 

Dalam kebanyakan situasi, keputusan mereka lebih dipengaruhi oleh risiko yang dirasakan, bukan hanya ideologi.

Pengundi Cina pula semakin strategik. Naratif menjauhkan diri daripada DAP di Johor mungkin memberi kelebihan kepada BN dalam kalangan Melayu. Tetapi bagi pengundi Cina, ia menimbulkan persoalan tentang konsistensi BN yang masih bekerjasama dengan DAP di peringkat Persekutuan. 

 

Image
51678196059_PilihanrayaHariMe.jpg

Dan ini berkemungkinan besar memberi kesan tambahan kepada usaha pengukuhan semula sokongan kepada PH.

Pengundi muda pula menjadi paling tidak stabil. Mereka tidak terikat kepada mana-mana parti. Mereka terdedah kepada naratif digital dan cenderung melihat alternatif seperti MUDA dan Bersama. Ini menjadikan mereka faktor yang sukar dijangka tetapi sangat penting.

Secara keseluruhan, pilihan raya ini bukan lagi soal kesetiaan. Ia soal reaksi terhadap isu dan persepsi semasa.

'Turnout' Sebagai Penentu Senyap?

Kadar keluar mengundi akan memainkan peranan besar.

Jika peratusannya tinggi, Pakatan Harapan berpotensi mendapat manfaat daripada mobilisasi pengundi bandar dan bukan Melayu. Dalam masa yang sama, kehadiran MUDA dan Bersama boleh memecahkan kelebihan tersebut dalam kerusi tertentu.

Sebaliknya, jika peratusannya rendah rendah, Barisan Nasional mendapat kelebihan melalui jentera akar umbi yang lebih tersusun. Pengundi setia lebih cenderung untuk keluar mengundi. Perikatan Nasional kekal relevan di kawasan Melayu tetapi berdepan cabaran penukaran sokongan kepada kemenangan yang konsisten.

Ini bermakna keputusan pilihan raya bukan hanya ditentukan oleh siapa menyokong siapa. Ia juga ditentukan oleh siapa memilih untuk tidak keluar mengundi.

Bayangan Kuasa Nasional

PRN Johor turut dibayangi oleh persaingan kuasa di peringkat Persekutuan.

Terdapat persepsi bahawa Johor menjadi medan ujian antara kepimpinan negeri dan kerajaan pusat, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai jentera gergasi Pakatan Harapan, berlandaskan status ketua Kerajaan Pusat, manakala Johor menjadi pentas untuk menilai sejauh mana Barisan Nasional di peringkat negeri mampu berdiri sendiri.

Dalam masa yang sama, Pengerusi BN Johor yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak terlalu ke hadapan pada peringkat awal. 

Pendekatan ini memberi ruang kepada kepimpinan negeri, tetapi juga memberi gambaran bahawa beban utama tenaga kempen terletak di bahu Johor.

Rafizi dan Nik Nazmi pula memilih pendekatan yang berbeza. Melalui Bersama, mereka cuba membentuk lapisan politik baharu yang tidak lagi terikat dengan struktur tradisional parti. Ini menunjukkan bahawa persaingan sebenar tidak lagi terhad dalam kerangka rasmi gabungan.

Onn Hafiz di Tengah Tekanan

Dalam semua dinamika ini, PRN Johor akhirnya menjadi ujian besar kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mengambil alih kepimpinan Kerajaan Negeri daripada bekas ADUN Benut, Datuk Seri Hasni Mohamad.

Beliau muncul sebagai simbol pembaharuan UMNO Johor selepas era kelemahan. Dalam tempoh pentadbiran yang singkat, beliau berjaya membentuk persepsi bahawa UMNO masih relevan dan mampu bergerak secara dinamik.

Namun, pilihan raya ini mengubah kedudukan beliau secara mendasar.

 

Image
JOHOR BAHRU, 24 Jun -- Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau kini bukan sekadar mempertahankan kerajaan, tetapi mempertahankan tahap dominasi. Serangan agresif daripada Pakatan Harapan menjadikan beliau sasaran utama. Tekanan dalaman parti dan isu sensitif yang tidak boleh dijawab secara terbuka menambah cabaran.

Menang sahaja tidak mencukupi.

Jika BN hanya memperoleh sekitar 35 hingga 40 kerusi (seperti pencapaian di bawah Hasni pada 2022), ia mungkin cukup untuk membentuk kerajaan. Tetapi dari sudut politik, ia boleh ditafsirkan sebagai kemerosotan kekuatan. 

Onn Hafiz dilihat sebagai tunjang harapan. Realitinya, beliau memikul tekanan yang jauh lebih besar daripada yang kelihatan.

Bangsa Johor Jadi Penentu

PRN Johor bukan sekadar pilihan raya negeri biasa. Ia adalah gambaran kepada perubahan struktur politik Malaysia yang semakin kompleks.

Gabungan masih wujud. Tetapi di sebaliknya, penjajaran sebenar semakin cair. Pemain baharu muncul, naratif berubah-ubah mengikut keadaan dan emosi halus pengundi (terutamanya di atas pagar) semakin sukar diramal.

Tiada lagi garis yang jelas antara kawan dan lawan.

Dalam keadaan ini, kemenangan tidak lagi ditentukan oleh siapa paling kuat. Ia ditentukan oleh siapa paling memahami perubahan dan paling mampu mengawal reaksi dalam medan yang semakin tidak menentu.

PRN Johor ke-16 berlangsung dalam konteks jumlah pengundi yang besar dan semakin berlapis dari segi demografi. 

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya, Johor mempunyai kira-kira 2.73 juta pemilih berdaftar. 

Perbezaan antara kerusi juga ketara. Puteri Wangsa, misalnya, mempunyai lebih 128,000 pengundi dan mewakili kawasan bandar yang padat serta berbilang kaum, manakala kerusi seperti Sungai Balang atau Semerah lebih kecil dan cenderung homogen dengan dinamik pengundian yang berbeza. 

Kepelbagaian ini menjadikan setiap kerusi membawa naratif tersendiri, bukan lagi sekadar mengikut corak negeri secara keseluruhan.

Dari segi garis masa, penamaan calon berlangsung pada 27 Jun, diikuti oleh undi awal pada 7 Julai 2026, sebelum hari pengundian utama pada 11 Julai 2026

Must Watch Video

Advertisement