KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran mengumumkan meninggalkan parti berkenaan pada Rabu.

Keputusan tersebut dibuat bekas Naib Presiden PKR itu kerana kecewa dengan pucuk pimpinan parti berkenaan yang didakwanya gagal melakukan reformasi.

“Fahmi, tidak perlu kisah soal disiplin parti. Lagi pun saya pun sudah lama tidak aktif dalam parti.

“Saya tanya mengenai reformasi PKR seperti dijanjikan. Tiada jawapan mengenainya.

“Tiada guna jadi ahli parti yang tidak lagi mewakili perubahan dan reformasi. Anggap sahaja ini sebagai tindakan keluar parti,” kata Surendran dalam hantaran di akaun media sosial X.
Surendran berkata demikian sebagai mengulas peringatan Ketua Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang mengingatkannya mematuhi disiplin parti selepas peguam itu mempersoalkan agenda reformasi dalam PKR.

Peguam itu pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Padang Serai dari 2013 hingga 2018.

Beberapa hari lalu, Surendran secara terbuka mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya berdiam diri dalam siasatan atas dakwaan menghasut terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Pua disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, berhubung catatan Facebooknya yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Siasatan hasutan ke atas Pua, namun Harapan/DAP kebanyakannya senyap - agak memalukan.

“Betapa dalamnya kawan-kawan lama saya telah karam,” kata Surendran.