KANGAR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan tahun hadapan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, lebih baik PRU15 diadakan selepas keadaan terkawal susulan jangkaan banjir besar hujung tahun ini.

"Mana-mana kerajaan bertanggungjawab akan menetapkan tarikh masa yang sesuai tetapi tidak membebankan rakyat. Sebab itu kita prihatin permasalahan banjir.

"Saya kira kalau keadaan itu lebih terkawal (selepas musim banjir). (Bagaimanapun) itu (tarikh PRU15) keputusan perdana menteri dan ke bawah duli Yang di-Pertuan Agong... mungkin tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Kangar pada Sabtu.

Sebelum ini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan kejujuran pembangkang yang membantah PRU15 diadakan pada musim tengkujuh kerana takut akan kalah.

Zahid dilaporkan berkata, gabungan itu sanggup meredah banjir untuk berkempen, jika PRU15 diadakan pada musim tengkujuh.

Kenyataan itu kemudian dikritik pemimpin Pakatan Harapan (PH).