Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kekesalannya terhadap kekecohan yang berlaku di luar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang tadi di mana Naib Presiden Tian Chua diserang segelintir penyokong parti.

"Saya amat kesal bila di pejabat Keadilan ada penyokong hilang pertimbangan dan menyerang orang.

"Kalau benar penyokong tegar mesti ada akhlak dan kawal disiplin. Jangan caci maki dan jangan fitnah kerana ia bertentangan prinsip akhlak," katanya dalam Majlis Zikir, Selawat Nuril, di kediamannya, di sini Ahad malam.

Anwar berkata penyokong tidak berhak untuk bertindak sedemikian meskipun segelintir pemimpin parti itu mempunyai pendapat berbeza.

Anwar turut menjelaskan beliau tiada pilihan tetapi menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan lembaga dispilin parti untuk tindakan selanjutnya.

Petang tadi, berpuluh penyokong parti yang mengamuk, menghambur kata-kata kesat termasuk 'anjing' dan 'pengkhianat' terhadap Tian Chua selain membaling botol air dan menamparnya ketika beliau hendak memasuki kenderaan.

Turut dihambur dengan kata-kata kesat ialah bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin.

-- BERNAMA