KUALA LUMPUR: Sekiranya calon dari Perikatan Nasional (PN) memperolehi sokongan majoriti untuk dipilih sebagai Perdana Menteri dan membentuk kerajaan, banyak pihak akan menunggu tawaran baharu yang akan diberikan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh, persoalan yang timbul jika PN kembali berkuasa adakah tawaran reformasi yang diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini akan turut diberikan kepada pembangkang?

Tricia berkata, beliau bimbang jika PN kembali memerintah, keadaan akan kembali seperti sebelum ini dan tawaran reformasi yang diberikan oleh Muhyiddin sebelum ini tidak akan diberikan keutamaan.

"Jika mereka mempunyai 115 sokongan, saya rasa sangat menarik untuk melihat apakah bentuk tawaran yang akan diberikan, terutamanya tawaran reformasi yang diberikan oleh Muhyiddin sebelum ini.

"Adakah mereka juga akan memberi tawaran itu atau apakah lagi tawaran yang akan diberikan?

"Jika mereka memerlukan sokongan daripada pembangkang, saya rasa ia akan menjadikan reformasi itu menarik tetapi sekiranya mereka tidak perlukan sokongan pembangkang, keadaan akan kembali seperti biasa," katanya kepada Astro AWANI.

Ketika menyampaikan Ucapan Khas pada 13 Ogos lalu, Muhyiddin memberi tujuh tawaran kepada pemimpin parti pembangkang untuk mendapatkan persetujuan bipartisan.

Antara tujuh tawaran tersebut ialah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik.

Namun semua parti pembangkang menolak tawaran tersebut malah UMNO yang merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional juga menolak.

Ekoran dari itu, Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos kerana tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.