KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menyambut baik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.

Menerusi satu kenyataan media, jelas Azalina, keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri itu konsisten dengan pendirian parti berkenaan.

"Keputusan ini sememangnya selaras dengan asas dan tujuan parti UMNO seperti yang termaktub dalam Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO untuk mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan.

"Raja dan rakyat berpisah tiada. Institusi Raja merupakan payung negara yang melindungi rakyat," jelasnya dalam kenyataan itu.


Kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti - Zahid Hamidi

BACA: MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM

BACA: [LAPOR LANGSUNG] MKT UMNO tarik sokongan, Muhyiddin perlu berundur - Ahmad Zahid

Tambahnya, UMNO Pengerang konsisten dan menyokong penuh keputusan MKT yang mengambil pendirian berpihak kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam sidang media khas pada petang Selasa memaklumkan MKT UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Katanya, kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.


UMNO sebulat suara tarik balik sokongan terhadap kerajaan PN

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

Antara pemimpin UMNO yang menyertai sidang media itu ialah Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah (Ahli Parlimen Gua Musang); Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian) serta Azalina yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Ahmad Zahid turut berkata, bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Agong, MKT UMNO sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Tambahnya lagi, surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan Perdana Menteri telahpun dipersembahkan kepada Agong, sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.