Penangguhan pemilihan PKR di cabang Kuala Selangor ternyata tidak menyekat penguasaan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Selangor, apabila beliau mendahului pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden, Mohd Rafizi Ramli pada fasa terakhir pemilihan yang berlangsung di lima cabang pada Ahad.

Ketua Koordinator PKR Selangor, Hassan Yusof berkata menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mendapat sokongan daripada kesemua cabang berkenaan - Tanjong Karang, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mendapat 4,138 undi sementara Mohd Rafizi memperoleh 2,097 undi.

"Keputusan ini bagaimanapun belum muktamad kerana masih ada lagi undi tidak dapat masuk ke dalam sistem," katanya kepada Bernama.

Ini menjadikan undian terkumpul diperoleh Mohamed Azmin setakat ini di Selangor berjumlah 18,453 undi manakala Mohd Rafizi yang juga naib presiden PKR memperoleh 15,045 undi.

BACA: "Saya memang jangka kalah di Selangor" - Rafizi

Terdahulu, pemilihan parti di cabang Kuala Selangor yang sepatutnya berlangsung pada Ahad terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain kerana masalah ketiadaan isyarat telekomunikasi di pusat pengundian di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Polis kemudian mengesahkan mengenai penemuan alat penghalang isyarat telekomunikasi (jammer) di bahagian tempat duduk stadium berkenaan oleh petugas Majlis Daerah Kuala Selangor ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.

Pada fasa pertama dan kedua pemilihan di Selangor sebelum ini, Mohamed Azmin mendapat sokongan daripada 10 cabang - Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Petaling Jaya (PJ) Utara dan PJ Selatan - sementara Mohd Rafizi memperoleh sokongan daripada enam cabang melibatkan Hulu Selangor, Kelana Jaya, Kapar, Klang, Puchong dan Selayang.

BACA: Fasa terakhir pemilihan PKR di Selangor hari ini

Selangor mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi sebanyak 249,850 orang.

Dalam pada itu, kekalahan Mohd Rafizi kepada Mohamed Azmin dalam saingan jawatan timbalan presiden di kubu kuatnya di cabang Pandan agak mengejutkan meskipun bekas anggota Parlimen Pandan itu berjaya memenangi jawatan ketua cabang apabila menewaskan tiga pencabarnya.

Bagi pemilihan di cabang Pandan, Mohd Rafizi memperoleh 508 undi sementara Mohamed Azmin mendapat 715 undi.

Namun, ketika mengulas mengenai kekalahan itu, Mohd Rafizi berkata ia berlaku kerana pengundi dari cabang Ampang yang merupakan penyokong Mohamed Azmin telah dipindahkan ke cabang Pandan.

Bagi pemilihan di cabang Ampang pula, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menang tanpa bertanding jawatan ketua cabang.

-- BERNAMA