SERI MENANTI: Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dijangka dimuktamadkan seawal minggu hadapan, dengan sasaran sebelum Jumaat sekiranya segala urusan berjalan lancar.
Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim berkata pemilihan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan mengambil kira wakil daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Ya, kita menubuhkan secara bersama. Pastinya kita mengambil kira ADUN yang mewakili Perikatan Nasional dan juga ADUN yang mewakili Barisan Nasional.
“Barisan Nasional bukan sahaja UMNO, tetapi juga parti komponen kita iaitu MCA dan MIC.
"Ini semua akan kita beri perhatian dalam menentukan pelantikan Exco,” katanya dalam sidang media selepas upacara angkat sumpah serta Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Mengulas pelantikan Exco, Ismail berkata beliau akan terlebih dahulu mendapatkan pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa yang terdekat sebelum mengemukakan senarai nama kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ismail antara lain memberi bayangan bahawa barisan Exco seramai 10 orang adalah saiz yang paling sesuai bagi pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau bagaimanapun berkata, keputusan mengenai pelantikan Exco, termasuk sama ada akan melibatkan muka baharu atau menggugurkan mana-mana individu, masih belum diputuskan.