JOHOR BAHRU: Usaha Pakatan Harapan (PH) dalam bergandingan bersama kerajaan negeri bagi membantu rakyat ketika ini bukanlah indikator bahawa pembangkang akan menjalinkan kerjasama bagi mengelakkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan menegaskan, kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad itu disaran untuk terus mentadbir jentera kerajaan sehingga akhir penggal biarpun hanya berkelebihan satu kerusi DUN.

Jelasnya, Ia bagi mengelakkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat memandangkan rakyat sedang mengalami krisis pandemik COVID-19 dan ekonomi domestik ketika ini.

"Saya dah katakan terlebih dahulu, kita takkan mengganggu kerajaan yang sedia ada. Kalau kita nak ganggu daripada dulu kita dah ganggu,

"Dari segi sudut positifnya kita melihat kerajaan yang sedia ada ini patut teruskan sampai akhir penggal atau sampai akhir tempoh, kita tak ada masalah.

"Sedangkan semua tahu tempoh pilihan raya itu setiap lima tahun jadi kenapa (kerajaan) tak sabar untuk tunggu sehingga tamat tempoh penggal untuk membubarkan DUN?" kata Aminolhuda ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pagi tadi.

Justeru, ADUN Parit Yaani itu berkata, pihaknya menyatakan pendirian akan tetap bersedia walaupun terpaksa tunggu lagi lima tahun.

"Maksudnya di sini, kita beri peluang kepada jentera kerajaan dan khususnya semua rakyat untuk persiapan Pilihan Raya pada lima tahun akan datang.

"Itulah sebagai contoh yang jelas untuk masyarakat tahu yang kita di pihak pembangkang tidak mahu 'politicking' yang menyusahkan semua pihak, dan pada akhirnya menjejaskan rakyat di negeri ini," ujarnya. 

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Johor berkata, pelaksanaan PRN dalam masa terdekat merupakan suatu tindakan tidak bertanggungjawab dalam mengambil kesempatan bagi meraih undian majoriti membabitkan jumlah pengundi yang kecil

Katanya, ia berikutan hampir 40 peratus rakyat dijangka tidak dapat pulang mengundi berikutan pandemik COVID-19 selain prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan.

"Sekiranya PRN diadakan dalam masa terdekat, berkemungkinan 30 hingga 40 peratus rakyat Johor tidak dapat balik untuk mengundi berikutan bimbang penularan wabak dan SOP atau sebagainya,

BACA: Tiada keperluan bubar DUN Johor ketika ini - Ahmad Faizal

BACA: PRN Johor: Ia akan terus menjadi tanda tanya - MB

"ia sekali gus menyebabkan mereka (rakyat) tak boleh balik untuk merealisasikan pemilihan sebuah kerajaan secara menyeluruh dan telus.

"Ini gara-gara sikap pemimpin yang tidak jujur seolah-olah mengambil peluang dalam suasana ketika ini untuk memastikan rakyat mengundi beliau dalam keadaan orang yang tak ramai. Jadi, pada saya itu (pelaksanaan PRN) sesuatu yang tidak wajar," katanya lagi.

Ketika ini, kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional (BN) mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), Pas (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.