Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum mencapai keputusan yang muktamad sama ada untuk menerima atau menolak bekas pemimpin UMNO Sabah yang keluar daripada parti itu, pada Rabu.

Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff berkata Bersatu kini masih dalam proses perbincangan dengan parti pro-kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Sabah sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada Rabu, keseluruhan jawatankuasa perhubungan UMNO negeri termasuk pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan 21 ketua Bahagian negeri keluar daripada parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli parti politik bebas.

BACA: Tiada komplot pemimpin UMNO Sabah keluar parti - Dr Mahathir

BACA: 'Saya sertai Bersatu kerana ...' - Mas Ermieyati

"Kita masih dalam proses perbincangan dengan bekas pemimpin UMNO yang keluar parti. Mereka telah memberikan indikasi.

"Walaubagaimanapun, kita masih sedang menilai semula dan apabila tiba masanya, insyallah kita akan membuat pengumuman," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran buku “Striving for Excellence – A Life Fulfilled” di Dewan Sivik MBPJ di Petaling Jaya pada Khamis.

Jangan lupa bahawa bukan BERSATU sahaja yang telah mengambil beberapa bekas pemimpin yang telah meninggalkan parti selepas pilihan raya, terdapat juga parti lain yang berbuat demikian.


Apabila ditanya berkaitan pandangan beberapa pemimpin PH yang tidak menyetujui keputusan yang diambil PH untuk menerima bekas pemimpin UMNO ke dalam parti Bersatu, Rais berkata beliau menghormati dan menyambut baik pandangan tersebut.






"Kita menerima kepelbagaian pendapat kerana kita mengamalkan pentadbiran yang demokratik. Dalam pentadbiran bercorak demokrasi, ada yang mempunyai pandangan yang berbeza dan kami menyambut baik pendapat dan pandangan ini.

"Apa-apa yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan gabungan PH, kita akan melakukannya. Jangan lupa bahawa bukan Bersatu sahaja yang telah mengambil beberapa bekas pemimpin yang telah meninggalkan parti selepas pilihan raya, terdapat juga parti lain yang berbuat demikian," tambahnya.