KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjelaskan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengenai Perikatan Nasional (PN) dibuat kerana wujud dakwaan pelanggaran perlembagaan gabungan itu oleh kepimpinan baharu PN.
Setiausaha Agungnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata aduan bertulis itu dikemukakan pada 11 Ogos lepas, antara lain berhubung BERSATU tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu berkaitan kedudukan keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Beliau berkata tindakan menafikan hak BERSATU untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi merupakan satu kesalahan dan pelanggaran Perlembagaan PN.
“BERSATU juga telah mengemukakan aduan kepada RoS mengenai kewujudan ‘kuasa veto’ yang mempengaruhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.
“Individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sering mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai satu ancaman dan tekanan untuk melucutkan dan/atau menggugurkan BERSATU sebagai Parti Anggota yang sah dalam Parti Perikatan Nasional.
“Amalan ini bercanggah dengan kuasa yang diberikan kepada Majlis Presiden Perikatan Nasional di bawah Fasal 7A.1(c) Perlembagaan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Azmin berkata RoS telah mengesahkan menerima aduan BERSATU dan memaklumkan bahawa penelitian sedang dijalankan terhadap perkara yang dibangkitkan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], peraturan berkaitan serta Perlembagaan PN.
Tambahnya, beliau telah hadir mewakili BERSATU untuk memberi keterangan kepada RoS pada 18 Ogos lepas di Ibu Pejabat RoS, Putrajaya, berhubung aduan yang dibuat itu.
Sehubungan itu Azmin menggesa kepimpinan tertinggi dan pihak pengurusan PN supaya tidak meremehkan peranan RoS dengan melemparkan tohmahan tidak berasas terhadap jabatan itu bagi meraih simpati politik dan menutup apa yang didakwanya sebagai kegagalan kepimpinan PN sedia ada.
Katanya lagi, RoS juga telah berulang kali memberi peringatan secara bertulis kepada PN supaya pertubuhan itu menjalankan segala aktiviti selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan PN.